INFO


Sejarah tidak boleh menolak, peranan A.L Birch, seorang jurutera British yang membawa set radio pertama ke Malaya pada tahun 1921. Dengan kemasukan radio tersebut, maka tertubuhlah Persatuan Wireless Johor pada tahun 1923, yang memulakan siaran melalui gelombang 300 meter. Pada tahun 1925, Persatuan yang sama juga ditubuhkan di Pulau Pinang. Diikuti pula dengan penubuhan Persatuan Wireless Tanah Melayu di Kuala lumpur pada tahun 1928. Persatuan Wireless Pulau Pinang telah berjaya mendapat lesen yang juga merupakan lessen pertama dikeluarkan di Malaya pada 24 Ogos 1934 atas nama seorang ahli persatuan bernama Khoo Sian Ewe.

Penubuhan Jabatan Siaran Radio di Singapura pada 1 April 1946, secara rasmi menjadi tarikh keramat bermulanya sejarah radio di Malaya. Perkembangan dan keberkesanan Radio Malaya turut mempengaruhi Sabah & Sarawak. Ini kerana pada tahun 1952, telah menyaksi bidang penyiaran secara percubaan bermula di Borneo Utara. Pelancaran Rasmi Radio Sarawak pada tahun 1954 & Radio Sabah pada tahun berikutnya telah membawa era baru kepada rakyat Sabah & Sarawak.

Siaran langsung penurunan The Union Jack & pengisytiharan kemerdekaan yang disiarkan secara langsung oleh Radio Malaya adalah bahan sejarah yang amat penting yang telah dilaksanakan oleh Radio Malaya.

Satu demi satu peristiwa bersejarah Radio Malaya, dibawa kepada pendengarnya. Nyata Radio Malaya adalah amat penting ketika itu untuk menjadi mata, telinga dan mulut rakyat bagi menyatakan matlamat dan arah tuju pentadbiran kerajaan. Selain daripada berperanan untuk menyebar berita, Radio Malaya banyak menyiarkan kejayaan kerajaan dalam membangun Negara. Juga mewujudkan suasana harmoni di kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa & agama.

Radio Malaya juga banyak memainkan peranannya dalam membentuk sahsiah diri untuk menyemarak dan memperkayakan pejuang, pelapis, pengamal seni tanah air, radio juga banyak menganjurkan pertandingan. Antaranya bintang radio yang telah melahirkan ramai bintang seni yang disegani hingga ke hari ini.

Peranan stesen radio negeri-negeri juga, banyak membantu kerajaan untuk mendengar dan menyelami permasalahan rakyat. Ini menjadikan RTM sebagai saluran yang berkesan untuk menjadi lidah rakyat & kerajaan. Menyedari masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum & etnik, RTM telah mewujudkan beberapa siaran radio yang mewakili kaum & etnik Malaysia. Keberkesanan stesen radio ini amat ketara & memberi satu impak besar kepada masyarakat. Ianya dapat kita lihat sehingga hari ini.
 
Sejarah PahangFM
Stesen RTM Kuantan mula beroperasi pada bulan Julai 1966 setelah stesen pemancarnya siap pada bulan Jun. Dengan siapnya stesen ini, seorang pegawai tetap telah ditugaskan untuk mencari bahan siaran untuk dihantar ke RTM Kuala Lumpur. Sebelum ini peranan radio hanya bermula apabila seorang pegawai rancangan ditempatkan secara sementara di Jabatan Penerangan Negeri Pahang pada tahun 1960 dengan tujuan untuk mencari bahan siaran untuk RTM Kuala Lumpur. Bermula dari tahun 1966 hingga 1973 stesen RTM Kuantan berfungsi menyalurkan siaran-siaran Rangkaian Nasional dan Rangkaian Biru ke Negeri Pahang menerusi gelombang sederhana :- 370 meter / 810 KHz - Rangkaian Nasional (Bahasa Malaysia) 263 meter / 1143 KHz - Rangkaian Biru (Bahasa Inggeris) Stesen RTM Kuantan pada masa itu hanya diketuai oleh seorang Pembantu Teknik yang memastikan siaran radio berjalan lancar di samping tugas-tugas hal-ehwal pentadbiran jabatan. Kawasan stesen ini mempunyai keluasan lebih kurang 6.7 hektar yang terdiri dari bangunan pejabat, stesen pemancar, rumah talaan dan rumah kakitangan. KDYMM Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah telah merasmikan stesen RTM Kuantan pada 10 Februari 1968. Maka di sinilah bermula era baru dunia penyiaran di Negeri Pahang Darul Makmur. Pada tahun 1974, RTM Kuantan telah dinaikkan taraf sebagai sebuah stesen penyiaran dengan wujudnya siaran tempatan. Mulai Mac 1974 siaran tempatan dari Kuantan memuatkan program pembangunan, hiburan dan agama berjumlah 45 minit siarannya setiap hari. Masa berlalu begitu juga pembangunan siaran tempatan yang meningkat kepada 75 minit sehari dengan pelbagai tambahan program bermula pada tahun 1977. Pada tahun 1980 diwujudkan siaran pada waktu pagi dari jam 8.35 pagi hingga 9.00 pagi. Program ala RMIK juga menyusul siarannya pada awal Januari 1986 dan ini menambahkan lagi kebolehpercayaan stesen tempatan dalam memberi hiburan, maklumat dan pendidikan kepada pendengar di Negeri Pahang. RTM Kuantan tidak menyumbang langsung rancangan peringkat nasional kecuali bahan kapsul untuk rancangan Hiburan Sambil Kerja Hari Sabtu tetapi menyumbang rancangan peringkat siaran daerah kawasan timur, seperti rancangan Selera, DJ Anda, Permintaan Dariku Untukmu (sekarang Tiara Timur) yang dselenggarakan bersama Stesen Kota Bharu dan Kuala Terengganu dan beberapa lagi rancangan. Bermula dengan penambahan masa siaran dari masa ke semasa sehinggalah pada Januari 1993, jumlah masa siaran meningkat kepada 15 jam sehari dan waktu siaran dipanjangkan mengikut perkembangan dunia penyiaran, iaitu dari jam 6.00 pagi hingga 12.00 malam setiap hari. Sumbangan dan peranan Stesen RTM Kuantan bukan hanya terhad kepada siaran tempatan sahaja tetapi juga berperanan menyumbang kepada siaran daerah dan siaran nasional. Ini bertujuan untuk mewujudkan semangat integrasi nasional. Dalam usaha untuk memperluaskan liputan siaran di daerah-daerah khususnya di negeri Pahang, stesen pemancar Kuala Lipis diwujudkan pada tahun 1974 dan di Jerantut pada tahun 1977.Walau bagaimanapun stesen pemancar RTM di Jerantut AM 846 khz tidak disambungkan ke RTM Kuantan dan siaran daerah kawasan timur yang beribu pejabat di RTM Kuala Terengganu sebaliknya hanya di sambung terus dari RTM Rangkaian Nasional Kuala Lumpur. Stesen di Jerantut telah ditutup pada 1 April 1991.apabila stesen pemancar FM mula dilancarkan di Jerantut barulah siarannya disambung ke RTM Kuantan. Menyedari keupayaan kuasa pemancar di Stesen Kuantan hanya 10 Kilowatt, maka diwujudkan pemancar FM Mono di Bukit Pelindung Kuantan pada penghujung tahun 1990 serta di Gunung Ulu Kali Bentung pula pada tahun 1991. Dengan kemudahan sistem OLTE (Optical Line Terminal) yang dipasang pada 15 Oktober 1992. Semua siaran yang diterima secara mono telah dapat diikuti dalam bentuk FM Stereo dan hampir keseluruhan Negeri Pahang dapat mengikuti siaran RTM Kuantan. Dari segi pentadbiran Jabatan, ia bermula pada tahun 1981. Seorang pegawai dihantar untuk mengetuai stesen yang sesuai dengan taraf sebagai sebuah stesen penyiaran. Jawatan pada ketika itu dikenali sebagai Ketua Stesen dan kini dinaikkan taraf sebagai Pengarah Penyiaran Negeri. Penambahan kakitangan juga ditingkatkan dari semasa ke semasa dan seorang "jurutera yang menjaga" juga ditempatkan untuk mengetuai bahagian Kejuruteraan stesen ini pada tahun 1982 sehinggalah sekarang. Dengan perkembangan pesat dalam bidang penyiaran dan juga cabaran-cabaran serta saingan dari pelbagai stesen Radio lain, kini RTM Kuantan mengorak langkah lagi dan kini mempunyai seramai 57 orang kakitangan dari semua bahagian termasuk bahagian Rancangan dan Unit Berita Ehwal Semasa TV. Sementara itu di Stesen Pemancar Kuala Lipis terdapat 13 orang kakitangan yang terdiri dari Bahagian Kejuruteraan dan Pentadbiran. Bahagian Berita Ehwal Semasa TV mula beroperasi di Negeri Pahang pada Mac 1987 dengan berperanan yang lebih mencabar dalam memberi liputan berita dan perkembangan Negeri Pahang secara keseluruhannya
 Jabatan Penyiaran Negeri Pahang



i. Bahagian Rancangan Bahagian ini mengendalikan semua urusan siaran dan penerbitan rancangan PahangFM. Selain mengatur kandungan siaran PahangFM, bahagian ini bertanggungjawab untuk liputan berita dan penyiaran berita radio di PahangFM.
ii. Bahagian Pentadbiran dan Kewangan Bahagian ini bertanggungjawab untuk kendalian semua urusan pentabiran dan kewangan Jabatan Penyiaran Pahang termasuk urusan pengangkutan.
iii. Bahagian Kejuruteraan Bahagian Kejuruteraan dianggotai oleh 1 orang Jurutera J41 untuk menyelaras semua urusan khidmat teknikal khususnya apabila melibatkan kerja-kerja liputan luar termasuk program "Radio Di Lokasi".

 

Sila klik pautan direktori untuk maklumat lanjut.