13 FEBRUARI 2018 

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, bersama kira-kira 200 jemaah menunaikan solat sunat jenazah Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan Ismail, di Masjid Al Hidayah, Taman Melawati di Kuala Lumpur, pagi tadi. 

Solat sunat jenazah diimamkan sendiri oleh anak lelaki tunggal Allahyarham, Mohd Hannan. 

Antara pemimpin hadir menziarahi jenazah ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi; dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abd Samad.

 

 Jenazah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, Ulu Klang, jam 11.30 pagi tadi. 

Abdul Manan, 70 tahun, meninggal dunia di kediamannya di Taman Melawati, kira-kira jam 6.45 petang semalam, dipercayai akibat serangan jantung. 

Allahyarham yang juga Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sejak Julai 2010, pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dari 1986 hingga 2004. 

Arwah meninggalkan seorang balu, Datin Seri Rohizah Ahmad, dan enam anak.

#MHA