13 FEBRUARI 2018 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail seorang pemimpin yang banyak memberi sumbangan bukan sahaja kepada parti tetapi kepada rakyat sebagai Ahli Parlimen di Kuantan. 

Perdana menteri berkata, beliau begitu merasai kehilangan Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan, apatah lagi anggota Parlimen Paya Besar bagi penggal kedua itu pernah berkhidmat sebagai setiausaha sulitnya sewaktu beliau memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan.

 

 Beliau berkata demikian selepas menziarahi jenazah Allahyarham bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Taman Melawati Kuala Lumpur Malam tadi. 

Turut hadir menziarahi malam tadi adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari. 

 Allahyarham Abdul Manan meninggal dunia kira-kira 6.45 petang semalam selepas terjatuh di dalam bilik air di rumahnya di Taman Melawati.

 Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate sebelum solat Zuhur hari ini. ## #MHA