Kisah ibu yang terpaksa membiarkan dua anak
perempuannya bermalam di lantai lobi Hospital
Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh,
kerana menjaga suami yang sakit mendapat
perhatian sewajarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan,
Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Wanita
dan Keluarga Pahang Datuk Seri Shahaniza
Shamsuddin berkata kisah keluarga Sarina Endut
telah dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM) negeri.

Katanya JKM meluluskan bantuan segera 300
ringgit dibayar secara ‘one-off’ pada Isnin
lalu, selain meluluskan Bantuan Kanak-Kanak
yang akan dinikmati bermula September ini.

Selain itu, untuk keselesaan dan keselamatan
dua anak yang masih kecil, Jabatan Kebajikan
HoSHAS telah menyediakan bilik percuma di
Anjung Kasih hospital untuk penginapan mereka.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pahang Datuk
Dr Sha'ari Ngadiman berkata jabatan kesihatan
turut memberikan bantuan kewangan tunai kepada
Sarina sebaik sahaja kisahnya tular di laman
sosial.