PERUNTUKAN BOLA PAHANG

 
Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) menyediakan peruntukan kira-kira 20 juta ringgit bagi mempersiapkan pasukan menghadapi saingan Liga Super musim ini.
 
Timbalan Presiden PBNP, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, peruntukan itu merangkumi penajaan pasukan selain kos mendapatkan pemain import baharu dari Argentina dan Brazil.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Memperkenalkan Jersi Pasukan dan Barisan Pemain Skuad Pahang Musim 2018 di Dewan Tun Razak, Temerloh.
 
Pada majlis itu, Pahang memperkenalkan tiga jersi baharu iaitu warna kuning dan biru untuk perlawanan di laman sendiri, jersi putih untuk perlawanan di tempat lawan dan jersi warna hitam sebagai jersi alternatif.
 
Pahang turut menampilkan empat pemain import baharu bagi saingan musim ini iaitu Sergio Ezequil Unrein dari Argentina;Alex De Moraes Gomes dari Brazil; Chan Vathanaka dari Cambodia dan pemain import bagi kuota Asean, Muhammad Safuwan Baharudin dari Singapura.