Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, masalah bekalan air ke sawah seluas 1,275 hektar di kampung berkenaan sudah lama berlaku walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan melalui IADA Pekan.

Menurutnya, ada beberapa ma­salah teknikal yang memerlukan kajian teliti dilakukan.

“Faktor kedudukan kawasan sawah di Kampung Pahang Tua yang lebih tinggi daripada sumber air iaitu Sungai Pahang Tua menyebabkan air tidak dapat masuk ke petak sawah walaupun mempunyai sistem perparitan yang baik.

“Agak mustahil air Sungai Pahang Tua yang di pam masuk ke parit utama boleh mengalir masuk ke kawasan petak sawah yang terletak pada kedudukan lebih tinggi daripada sumber air,” katanya kepada pemberita selepas mengha­diri Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Bersama Rakyat Mukim Pahang Tua di Padang Awam Kampung Pahang Tua baru-baru ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Seri Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali.

Adnan berkata, beliau juga mungkin menjemput pengusaha sawah padi dari Kampung Janda Baik, Bentong yang berjaya membuat sistem pengairan yang baik walaupun keadaan sungai berada lebih rendah daripada sawah.

Katanya, masalah sistem pe­ngairan di kawasan penanaman padi di kampung berkenaan menyebabkan hasil padi di situ terjejas.