TEMPATAN: PELINDUNG 3D

Tiga pensyarah Universiti Malaysia Pahang
(UMP) menghasilkan pelindung muka tiga
dimensi, (3D); bagi membantu petugas barisan
hadapan yang bertugas.

Penutup muka itu dihasilkan Dr Zamzuri Hamedon
bersama Dr Ismayuzri Ishak dan Khairul Fikri
Muhammad dari Fakulti Teknolgi Kejuruteraan
Pembuatan dan Mekatronik, UMP dalam tempoh
hanya tiga hari.

Dr Zamzuri berkata, kumpulannya menyumbang
pelbagai idea dalam menghasilkan prototaip
pelindung muka yang ringkas, ringan, murah dan
sesuai digunakan itu sebelum proses cetakan
akhir dilakukan.

Menurutnya, pada peringkat awal, beliau turut
mendapatkan pandangan daripada petugas di
Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) supaya
dapat mengambil kira kesesuaian dan keselesaan
pemakai sebelum menyediakan 30 set pelindung
muka.

Beliau berkata, pada peringkat permulaan,
mereka hanya mampu menyiapkan antara 50 hingga
60 set sehari, namun melalui kaedah terbaru
yang digunakan, penghasilannya meningkat
kepada 150 hingga 200 set sehari.