KERANI PALSU

Seorang kerani bank ditahan kerana disyaki
menyebarkan kandungan berita palsu mengenai
penularan novel coronavirus (2019-nCov).

Wanita berusia 28 tahun itu adalah individu
keenam yang ditahan hasil serbuan Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan
Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi membanteras
penyebaran berita palsu berhubung penularan
virus itu.

SKMM memaklumkan, wanita berkenaan ditahan di
Kuantan, kira-kira jam 4 petang semalam bagi
membantu siasatan berhubung kandungan berita
palsu yang dimuat naik di laman Facebook pada
27 Januari lalu.

Turut dirampas adalah telefon bimbit dan kad
sim miliknya yang dipercayai digunakan untuk
memuat naik kandungan itu di laman Facebook.

SKMM berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen
233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998
yang memperuntukkan hukuman denda maksimum 50
ribu ringgit atau penjara tidak lebih satu
tahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda
selanjutnya satu ribu ringgit bagi setiap hari
kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.