TEMPATAN : UNITEN DIPERTIMBANG SEMULA

Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) semalam,
menjelaskan bahawa cadangan melaksanakan Operasi
Kampus Berpusat yang melibatkan Kampus Sultan
Haji Ahmad Shah (K-SHAS) di Muadzam Shah, Rompin
masih dalam peringkat kajian.

Sehubungan itu, Pejabat Naib Canselor universiti
itu menerusi kenyataan media, memaklumkan K-SHAS
akan beroperasi seperti biasa sehingga kajian
itu siap untuk pertimbangan Lembaga Pengarah
UNITEN.

Pada 28 September lalu, UNITEN menerusi
kenyataan medianya mengesahkan penggabungan
K-SHAS dan kampus Putrajaya menerusi inisiatif
'Reimagining UNITEN' bagi melonjakkan nama
universiti dalam berdaya saing di peringkat
nasional dan antarabangsa.

Cadangan itu bagaimanapun mendapat bantahan
daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri
Pahang, badan bukan kerajaan dan ahli politik
kerana menyifatkan tindakan itu akan menjejaskan
pembangunan sosioekonomi di kawasan tersebut.