TEMPATAN : MAUT KEMALANGAN

Suami isteri maut selepas kenderaan jenis Perodua Myvi
yang dinaiki, dipercayai merempuh lori yang membawa
muatan baja di Kilometer 1-3-4 Jalan Kuantan-Seremban,
di Keratong, Rompin; kira-kira jam 5 pagi tadi.
Kejadian mengakibatkan mangsa, Muhammad Noor Idham Ramli,
31 tahun, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah
di kepala; sementara isterinya Surawati Mohd, 33 tahun,
meninggal dunia beberapa jam selepas mendapatkan rawatan
di Hospital Muadzam Shah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri,
Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kemalangan
terbabit turut mengakibatkan tiga anak pasangan itu yang
berusia dua hingga enam tahun cedera.
Berdasarkan siasatan awal pihak polis mendapati, kereta
dipandu Muhammad Noor Idham dari arah Kuantan menuju ke
Seremban, dipercayai memasuki laluan bertentangan
sebelum bertembung dengan sebuah lori.
Tambahnya, keterangan daripada pemandu lori yang berusia
43 tahun, yang turut mengalami kecederaan; telah diambil
bagi membantu siasatan.
Mayat mangsa dibawa ke hospital sama bagi proses bedah
siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 kurungan “1”
Akta Pengangkutan Jalan 1987.